Wednesday, August 5, 2009

Sejarah asal Kampung Buah Balak




Penerangan Ringkas tentang Isu Kampung Buah Pala

Latar Belakang

Kampung Buah Pala adalah antara kampung tradisi yang terakhir di Pulau Pinang. Ia juga dipanggil High Chaparral oleh rakyat Pulau Pinang kerana kampung ini terletak di atas sebuah bukit kecil di Bukit Gelugor dan penuh dengan flora.

Kira-kira 65 keluarga di Kampung Buah Pala sudah menempat di situ sepanjang 5 generasi dan hampir 200 tahun.

Kampung ini pada pada asalnya adalah penempatan untuk pekerja ladang yang bekerja dengan keluarga Brown. Apabila keluarga Brown meninggalkan Pulau Pinang, tanah Kampung Buah Pala telah dijanjikan kepada penduduk-penduduk di sini dengan menubuhkan Amanah Perumahan (Housing Trust).

Pada tahun 1999, penduduk-penduduk Kampung Buah Pala telah menyeru Kerajaan Negeri untuk mewartakan tanah mereka sebagai tanah sebuah kampung tradisi sebagai simbol budaya nasional.

Namun, Tanah Kampung Buah Pala telah diluluskan kepada pihak Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 18 Ogos 2004 dan 8 Jun 2005 semasa zaman pentadbiran Barisan Nasional, tanpa pengetahuan penduduk-penduduk Kampung Buah Pala. Kelulusan pindah milik tanah juga tidak mengambil kira bahawa tanah tersebut sebelum ini adalah tanah Amanah Perumahan dan bagaimana ia boleh menjadi tanah milik kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah satu persoalan yang masih belum terjawab. Jelasnya sekali pindah milik tanah Kampung Buah Pala adalah tidak sah dan mempunyai unsur-unsur penyelewengan yang cuba memperdayakan rakyat.

Tanah tersebut telah diluluskan untuk dibangunkan bersama oleh Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Nusmetro Venture Sdn Bhd untuk mengaut keuntungan dengan memusnahkan kampung tradisi yang berusia hampir 200 tahun ini. Amat jelas sekali apa yang dikatakan “pembangunan” di atas tanah ini telah mengadaikan hak penduduk-penduduk Kampung Buah Pala dan memihak pada syarikat kroni yang hanya mementingkan keuntungan sendiri. Pengusiran Paksa

Walaupun penduduk-penduduk Kg Buah Pala telah menang kes di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan menghalang pencerobohan oleh pihak pemaju untuk sementara, malangnya keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Mei 2009 dan Mahkamah Persekutuan pada 24 Jun 2009 tidak berpihak pada penduduk-penduduk Kampung Buah Pala.

Kes Kg Buah Pala ditolak di Mahkamah Rayuan adalah atas sebab teknikal dan isi kes yang membolehkan penduduk menang di Mahkamah Tinggi langsung tidak didengar dalam Mahkamah Rayuan. Mahkamah Persekutuan pula menolak permohonan para penduduk untuk kes ini dibicarakan.

Pada 2 Julai 2009, kami telah menerima perintah mahkamah untuk mengosongkan tanah kami sebelum 3 Ogos 2009.

Yang pastinya, pencerobohan dan pengusiran oleh pihak pemaju yang angkuh dan hanya mementingkan keuntungan sendiri itu akan menyebabkan lebih daripada 65 keluarga di Kampung Buah Pala kehilangan tempat kediaman, dan seterusnya menghancurkan sebuah kampung tradisional yang merupakan warisan budaya yang tidak ternilai!


Cara Pengendalian Masalah oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang Mengecewakan

Pada 12 Mac 2008, apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas Pilihanraya Umum ke-12, 5 orang ahli jawatankuasa Pertubuhan Penduduk-penduduk Kampung Buah Pala telah berjumpa dengan YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang, untuk meminta supaya pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyelesaikan masalah Kg Buah Pala. Namun, pihak Kerajaan Negeri tidak mengambil tindakan untuk memberhentikan atau membekukan proses pindah milik tanah, sehingga surat hakmilik pajakan dikeluarkan pada 27 Mac 2008.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya bertindak menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat penyelewengan pindah milik tanah pada bulan Jun 2009, iaitu selepas 15 bulan Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang, selepas kes ditolak oleh Mahkamah Rayuan. Masalah penduduk-penduduk Kampung Buah Pala adalah berpunca daripada amalan kerajaan Barisan Nasional yang anti-rakyat dan mementingkan keuntungan segelintir kroni. Apakah rasionalnya untuk kerajaan Pakatan Rakyat yang sepatutnya membela rakyat masih berpegang pada keputusan kerajaan Barisan Nasional yang membelakangkan kepentingan rakyat biasa?


Tuntutan Penduduk-penduduk Kampung Buah Pala

Penduduk-penduduk Kg Buah Pala menuntut Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya mengambil tindakan berikut dengan kadar segera:

1. Menghalang segala pengusiran paksa ke atas Kampung Buah Pala
- Pengusiran paksa adalah satu pencabulan hak asasi yang amat serius dan tidak
patut berlaku sama sekali.
- Pengusiran paksa yang berlaku di Negeri Pulau Pinang pasti akan menjejaskan
kepercayaan rakyat terhadap pemerintahan Pakatan Rakyat.
- Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu memohon satu perintah mahkamah untuk
menghalang pelaksanaan perintah mahkamah yang membenarkan pengosongan tanah
Kampung Buah Pala.
- Perbincangan dan perundingan yang lebih mendalam untuk mencari penyelesaian
adil untuk masalah ini hanya dapat dilakukan jika pengusiran paksa
diberhentikan dahulu.
2. Mencari satu penyelesaian yang adil untuk mengekalkan Kampung Buah Pala
- Pindah milik tanah kepada pihak pemaju berlaku tanpa menunjukkan bagaimana tanah yang sebelum ini di bawah Amanah Perumahan boleh dijual oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang.
- Kerajaan Negeri Pulau Pinang boleh membatalkan pindah milik tanah kepada pihak Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dengan berasaskan berlakunya kepincangan dalam proses kelulusan pindah milik tanah.
- Kerajaan Negeri Pulau Pinang patut mencari tanah alternatif untuk pihak pemaju, BUKANNYA pampasan kepada penduduk-penduduk Kampung Buah Pala, kerana penduduk-penduduk Kampung Buah Pala sepatutnya adalah pemilik yang sah untuk tanah tersebut seperti yang dijanjikan oleh Amanah Perumahan.

3. Mewartakan tanah Kampung Buah Pala sebagai tanah warisan budaya
- Kampung Buah Pala adalah satu penempatan bersejarah mengukirkan pengorbanan golongan pekerja kepada pembangunan negeri Pulau Pinang, dan sememangnya ia adalah satu warisan yang patut dilindungi.
- Ini adalah satu pengiktirafan ke atas pengorbanan golongan pekerja yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan Negeri Pulau Pinang.
- Sekiranya Kampung Buah Pala diwartakan dan dikekalkan sebagai kampung warisan tradisi, tempat ini akan menjadikan satu lagi daya tarikan pelancongan yang bakal membantu pembangunan ekonomi setempat.

4. Berani untuk mempertahankan hak untuk rumah dan warisan masyarakat bawahan

- Rakyat jelata menaruh harapan tinggi ke atas kerajaan Pakatan Rakyat untuk melindungi hak asasi rakyat daripada dicabuli oleh golongon yang tamakkan keuntungan wang sahaja.
- Sekiranya kerajaan Pakatan Rakyat gagal mengambil tindakan berani untuk mempertahankan Kampung Buah Pala, sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat pastinya akan terjejas dengan hebatnya.

Apa anda boleh buat?
1. Membuat lawatan ke Kampung Buah Pala dan bertemu dengan penduduk-penduduk di
situ untuk mengetahui keadaan sebenarnya di Kg Buah Pala.
2. Menulis surat kepada YAB Lim Guang Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, dan
meminta pihak Kerajaan Negeri mengambil tindakan yang berani untuk
mengekalkan Kg Buah Pala serta mewartakan Kg Buah Pala sebagai Warisan
Budaya.
3. Membuat kenyataan akhbar untuk menyuarakan sokongan ke atas hasrat penduduk-
penduduk Kg Buah Pala yang ingin mengekalkan Kg Buah Pala.

Disediakan oleh,
Persatuan Penduduk-penduduk Kampung Buah Pala

No comments:

Post a Comment